Rabu, 05 Desember 2012


TUESDAY, NOVEMBER 20, 2012

Sebelum Sampai Waktunya .. bersegeralah



Assalamu'alaikum.

Nikmat hidup adalah peluang paling bernilai bagi hamba Allah di dunia ini. Ini patut disyukuri sebelum kematian menjemput kerana kematian adalah penamat segala ruang dan peluang untuk membuktikan pengabdian kepada Allah SWT. Peluang hidup di dunia datang sekali sahaja dan jangka hayat kita pula hanya diketahui Allah SWT. 


Rasulullah SAW mengingatkan tenyang kepentingan menguruskan peluang yang diberikan Allah SWT dalam hidup. Baginda mengingatkan supaya kita memanfaatkan waktu sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati. 


Apabila sampai waktunya, malaikat maut akan datang menjemput untuk dikembalikan kepada Maha Pencipta. Di sana kita akan ditanya bagaimana kita mengisi peluang yang telah diberikan oleh-Nya. 

Tujuan kita dijadikan ialah untuk beribadat kepada-Nya, diberi amanah dan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi. Ibadat dan tanggungjawab ini mesti dilaksanakan berdasarkan syariat dan perintah-Nya. 

Seseorang yang melakukan amalan baik kerana mentaati perintah Allah dikira sudah melakukan ibadat kepada Allah SWT. Sifat orang beriman adalah segera melakukan amalan baik dan melakukan secara berterusan malah ada ke tahap berlumba-lumba melakukan kebaikan selagi nyawa di kandung badan. 

Orang-orang beriman yakin kiamat diri boleh berlaku pada bila-bila masa atau di mana sahaja. Imam Ghazali berkata, mati itu ada kalanya berlaku serta-merta. Andainya anda tidak mati serta-merta, anda harus ingat bahawa sakit itu selalu datang dengan serta-merta. Apabila anda sakit, nescaya anda tidak akan berdaya lagi untuk mengerjakan amalan soleh, sedangkan amalan soleh itu pula adalah bekalan akhirat.

Oleh itu usahlah kita bertangguh lagi. Bersegeralah dan berlumba-lumbalah melakukan ibadah. Usah memberi alasan belum dapat hidayah kerana jika kiamat diri terjadi ketika kita masih sedang menunggu hidayah, bagaimana kita dapat memasuki syurga-Nya. 


Hidayah perlu dicari dan bukan ditunggu. Janganlah menanti masa lapang untuk beribadah kerana hal ini akan memutuskan kita daripada kewajipan menunaikan hak terhadap apa yang telah ditetapkan Allah pada masa lapang itu. 

Semoga kita tetap istiqamah di atas jalan lurus hinggalah ke destinasi yang kita idam-idamkan. Marilah berusaha dengan bersungguh-sungguh.. peringatan buat diriku juga...

Tidak ada komentar:

Posting Komentar